KUALA TERENGGANU – Hati ibu mana yang tidak luluh apabila mendapat perkhabaran anak kandungnya pergi menghadap Ilahi selepas sekian lama tidak bertemu.
Lebih memilukan apabila jenazah anaknya itu tidak dapat ditatap dan dikucup buat kali terakhir sebelum dimasukkan ke liang lahad.
Meskipun berat untuk menerimanya, Lijah Hitam, 74 tiada pilihan kecuali reda dengan suratan takdir yang anak keempatnya, Ahmad Mukri Aziz, 41 meninggal dunia akibat Covid-19.
Kisah Lijah mendapat perhatian netizen selepas video wanita itu menyaksikan proses pengebumian Ahmad Mukri daripada luar pagar tanah perkuburan tular di laman sosial.
Video itu dimuat naik salah seorang cucunya, Noorshalihah Shaadah Othman, 27 di TikTok dengan rata-rata yang menonton meluahkan rasa sedih dan menitipkan doa di ruangan komen.
Berkongsi kisah itu, Noorshalihah berkata, dia bersama adik beradik dan ahli keluarga lain turut sama menemani neneknya dengan berada di luar Tanah Perkuburan Islam Kampung Mengabang Telong Batu Rakit, di sini daripada awal hingga selesai jenazah bapa saudaranya dikebumikan.
Menurut Noorshahilah, ketika itu juga dia menyaksikan kesayuan riak wajah neneknya kerana hanya melihat pengebumian anak sendiri dari jauh.
“Kelihatan nenek terdiam seribu bahasa dan tidak lepas pandangannya daripada melihat jenazah pak cik (Ahmad Mukri) dikebumikan.
“Wajahnya sayu dan sukar di digambarkan kesedihannya kerana tidak dapat melihat jasad jauh sekali memeluk dan mencium buat kali terakhir.
“Kami cuba mohon kebenaran untuk masuk ke dalam kawasan tanah perkuburan tetapi akur dengan arahan pihak pengurusan supaya berada di luar saja demi keselamatan semua,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Noorshalihah yang menetap di Gong Badak, di sini dengan Lijah sejak kecil berkata, bapa saudaranya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pada 3.50 pagi, 8 Julai lalu dan dikebumikan hari sama jam 5.30 petang.
Dia sekeluarga tidak pasti sejak bila dan punca bapa saudaranya dijangkiti Covid-19 kerana Ahmad Mukri bekerja sebagai nelayan di Seberang Takir, Kuala Nerus dan sudah empat bulan tidak pulang ke kampung kerana menetap di rumah sewa berhampiran tempat kerja.
“Arwah bapa saudara saya masih bujang dan tidak bertemu dengan nenek sejak Ramadan lalu.
“Saya sekeluarga tidak tahu bagaimana dia boleh dijangkiti Covid-19 tetapi arwah adalah orang pertama dalam keluarga yang meninggal akibat wabak itu,” katanya yang bekerja sebagai jurujual di kedai barangan elektrik.
Sehingga kini, Noorshalihah mengakui neneknya masih bersedih dengan pemergian bapa saudaranya itu malah tidak bercakap ketika di rumah.
“Emosi nenek stabil cuma perubahan kini adalah dia lebih banyak mendiamkan diri mungkin kerana masih terkejut dengan pemergian arwah.
“Risau juga melihat keadaannya kerana nenek ada penyakit darah tinggi dan takut ia akan menjejaskan kesihatannya.
“Meskipun begitu, kami sekeluarga akan terus bantu pulihkan semangatnya dan beri sokongan supaya dia tabah dengan ujian ini,” katanya.
Berhubung video yang tular di laman sosial, Noorshalihah berkata, tujuannya merakam dan memuat naik rakaman itu adalah untuk disimpan sebagai kenangan oleh ahli keluarganya.
Bagaimanapun, dia tidak sangka video itu tular dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi kata semangat buat neneknya.
“Syukur Alhamdulillah, ramai sangat yang mendoakan arwah dan sayangkan nenek serta beri kata semangat buatnya.
“Jutaan terima kasih saya ucapkan dan semoga kalian semua sentiasa dilindungi dan diberi kesihatan yang baik.
“Saya juga berharap sesiapa menonton video itu mengambil mesej positif dengan terus hargai kasih sayang seorang ibu yang tidak dapat diganti dengan harta benda dan terus berhubung dengan ahli keluarga walaupun kini berjauhan,” katanya.
Kredit: myMetro Online