Suami Terpaksa ‘Gantung’ Tukul, Gergaji Sepanjang PKP

TUMPAT – Perit ditanggung sembilan sekeluarga di Kampung Belukar Berangan di sini sukar untuk digambarkan ketika berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan.

Punca rezeki mereka terputus apabila Deraman Jusoh, 71, sebagai ketua keluarga yang mengambil upah sebagai tukang rumah, terpaksa menggantung ‘tukul dan gergaji’ sepanjang tempoh PKP.

Isterinya, Zunaidah Hussin, 60, memberitahu Utusan Malaysia, anak perempuan mereka, Norzafazila, 33, kini mengambil alih tugas Deraman dengan bekerja sebagai pembantu kedai nasi berlauk dengan upah RM25 sehari.

Dia yang menghidap penya­kit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang pula sedaya upaya menggagahkan diri me­ngasuh enam anak Norzafazila berusia tiga hingga sembilan ta­hun sementara ibu mereka itu keluar mencari rezeki.

“Walaupun tidak seberapa, sekurang-kurangnya Norzafazila dapat menanggung saya dan suami, serta anak-anaknya yang masih kecil dan bersekolah de­ngan gaji yang diperoleh secara harian itu.

“Jika ditanya bagaimana kehidupan kami, saya boleh kata perit sangat hidup ketika zaman PKP ini. Walaupun kerajaan sudah beri kelonggaran sekarang, situasi kami masih perit kerana kerja suami sebagai tukang rumah banyak tertangguh,” katanya.

Kata Zunaidah, ketika suaminya baru hendak memulakan semula kerjaya sebagai tukang rumah, lelaki itu diuji pula de­ngan penyakit batuk kering yang semakin kronik, selain ber­depan kesukaran mendapatkan perkakas kerana banyak kedai masih belum beroperasi.

“Saya bagaimanapun bersyu­kur sangat-sangat keluarga kami dapat bertahan sepanjang PKP dengan bantuan diterima pelbagai pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dermawan serta pemimpin tempatan.

“Kami berharap situasi pandemik Covid-19 akan reda dan berlalu pergi supaya golongan miskin seperti kami dapat menjalani kehidupan yang lebih ba­ik,” katanya.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *