“Saya Terpaksa Jual Semua Lembu”

KOTA BHARU – “Saya terpaksa menjual semua 13 ekor lembu berkenaan termasuk lembu kesayangan arwah anak saya,” kata Raja Hishamuddin Raja Yusuf, 29, bapa kepada Raja Abdul Wafi, 6, yang maut diseret lembu di Kampung Rahmat, Jeli, petang kelmarin.

Raja Hishamuddin berkata, walaupun semua lembu itu sudah dijaga sejak lima tahun lalu selain menjadi sumber pendapatannya, namun dia tidak mampu mengenangkan apa yang berlaku pada anak sulungnya.

“Kejadian berlaku di depan mata saya. Saya menyaksikan bagaimana Abdul Wafi diseret sehingga meninggal dunia.

“Saya trauma dan tidak mampu lagi menjejakkan kaki ke padang selain menguruskan lembu berkenaan.

“Walaupun sayang dengan binatang berkenaan kerana menjadi sumber pendapatan saya sekeluarga, namun saya terpaksa melepaskannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raja Hishamuddin berkata, masih terngiang-ngiang lagi suara anaknya yang meminta dia tidak menjual lembu kesayangannya berusia dua tahun itu.

“Arwah terlalu sayangkan lembu berkenaan dan hampir setiap hari dia akan bercakap dengan lembu itu seperti bercakap dengan rakan.

“Namun, saya percaya jika kejadian itu berlaku kepada orang lain, mereka juga akan mengambil keputusan sama seperti yang saya akan lakukan,” katanya.

Mengenai penetapan harga lembu berkenaan, Raja Hishamuddin berkata, dia sedang menilai harga berdasarkan usia dan saiz haiwan berkenaan.

“Saya berharap proses penjualan ini berjalan lancar dan ada pembeli yang berminat dengan lembu saya,” katanya.

Dalam kejadian jam 6.40 petang kelmarin, Raja Abdul Wafi meninggal dunia di Hospital Jeli akibat kecederaan parah di kepala berikutan diseret lembu sejauh 50 meter.

Kejadian berlaku ketika mangsa ke lokasi kejadian bersama bapanya untuk mengambil lembu peliharaan mereka.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *