Minta Kebenaran JPNP Untuk Ambil Barang Di HSK Batu Talam

KUANTAN – Kebenaran memasuki dan mendapatkan barangan milik pekebun durian haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub perlu diperoleh daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata beliau meminta Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon mendapatkan sendiri kebenaran daripada JPNP untuk mendapatkan barangan milik pekebun haram durian yang terdapat di hutan simpan berkenaan.

Katanya, permintaan itu selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhamad di pejabatnya di Wisma Sri Pahang, di sini semalam, yang turut disertai Sin Woon.

Pada kunjungan itu katanya, perkara berkaitan kerja penguatkuasaan dalam HSK Batu Talam khususnya membabitkan kawasan seluas 101.17 hektar yang meliputi kebun haram durian Musang King, dibangkitkan.

“Susulan itu, saya telah menyatakan ketegasan secara konsisten oleh kerajaan negeri dalam kerja-kerja penguatkuasaan yang dilakukan tanpa mengira kaum mahupun kawasan dan daerah ia berlaku ke atas pencerobohan tanah secara haram di negeri ini.

“Dalam pada itu, saya menerima permintaan daripada Sin Woon supaya pekebun-pekebun haram terbabit dibenarkan memasuki kawasan operasi untuk mendapatkan semula barangan milik mereka yang tertinggal di dalamnya.

“Kepada permintaan ini, saya meminta Sin Woon mendapatkan sendiri kebenaran untuk pekebun terbabit berbuat demikian daripada Pengarah JPNP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak operasi memusnahkan kebun durian terbabit pada 3 Julai lalu, kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam HSK Batu Talam seluas lebih 101 hektar, sudah ditebang.

Berikutan itu, kira-kira 20,000 pokok hutan antaranya Merawan, Meranti, Balau, Keruing dan beberapa spesis lain akan ditanam di kebun terbabit dan setakat ini, lebih 2,000 pokok sudah ditanam.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *