JKNK Hantar Kakitangan Bantu 6 Negeri Terjejas Covid-19

TANAH MERAH – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menghantar 532 kakitangannya merangkumi pelbagai perjawatan ke enam negeri yang masih mengalami peningkatan kes Covid-19.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, penghantaran itu dibuat bermula 7 Julai lalu dan 40 lagi kakitangan akan dihantar termasuk tiga ambulans, esok.

“Penghantaran itu dibuat ke Sarawak, Kuala Lumpur, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Kedah dan Johor memandangkan enam negeri itu masih mengalami peningkatan (kes Covid-19) sekali gus berharap situasi dapat diatasi segera.

“Dari segi penugasan di sini (Kelantan) pula, kita akan mengubah semula kakitangan yang ada untuk memaksimakan tugasan,” katanya selepas melakukan tinjauan sempena Program Mobile Vaksinasi Covid-19 di Masjid Kusial Bharu, di sini, hari ini.

Seramai 33 petugas disediakan membabitkan kakitangan JKNK, anggota bomba dan sukarelawan terdiri penduduk setempat terbabit dalam program berkenaan.

Dr Zaini berkata, menjelang perayaan Aidiladha ini, pihaknya menjangka terdapat kemasukan rakyat Kelantan dari negeri luar khususnya dari Pantai Barat.

Menurutnya, berikutan itu, mereka dinasihatkan menangguhkan terlebih dahulu perjalanan pulang ke kampung halaman kecuali jika membabitkan urusan penting.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *