FELDA Nafi Hapus Hutang Secara Berat Sebelah

KUALA LUMPUR – FELDA menafikan Perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka dan Pengurusan Kebun untuk menghapuskan sebahagian hutang peneroka dimuktamadkan secara berat sebelah.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Amiruddin Abdul Satar, berkata objektif utama inisiatif itu bagi menerapkan kebersamaan kedua-dua pihak melalui sistem pengurusan ladang lestari yang akan memanfaatkan peneroka, terutama aspek pendapatan mereka.

Beliau berkata, penghapusan sebahagian hutang setakat 31 Disember 2019 itu dibuat berdasarkan syarat peneroka perlu menghantar hasil atau menyerahkan pengurusan kebun kepada FELDA.

Katanya, peneroka masih dibenarkan mengurus kebun sendiri dengan syarat menghantar hasil sepenuhnya kepada FELDA, membayar ansuran bulanan pinjaman sepenuhnya setiap bulan dan melaksanakan pengurusan kebun mengikut kaedah, piawaian, prosedur operasi standard (SOP) dan amalan pertanian baik ditetapkan FELDA.

“Peneroka dan waris dibenarkan menghantar salinan dokumen ditandatangani melalui e-mel terlebih dahulu dan dokumen asal boleh dipos kemudian.

“Tempoh 14 hari diberikan supaya potongan dengan kadar baharu lebih rendah dapat dibuat pada Ogos ini, bagi kategori peneroka bersama FELDA.

“Peneroka boleh diberi tempoh tambahan 14 hari lagi tetapi kadar potongan baharu hanya akan dapat dibuat pada September depan. Peneroka ini masih perlu membayar kadar potongan asal bagi bulan Ogos 2021,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas dakwaan syarat perjanjian dikemuka FELDA mengundang keraguan, selain peneroka diberi tempoh singkat untuk menandatanganinya.

Mengenai tempoh perjanjian, Amiruddin berkata, peneroka tertakluk hingga tamat pusingan kebun berhasil, iaitu sebelum pusingan tanam semula berikutnya, baki hutang diselesaikan atau mana-mana yang terkemudian.

“Peneroka perlu membayar ansuran bulanan hingga kebun terbabit perlu ditanam semula atau sehingga baki pinjaman diselesaikan. Bagi berlaku adil kepada peneroka, perjanjian baharu akan ditandatangani bagi pusingan tanam semula berikutnya.

“Hak kepentingan peneroka juga ada dinyatakan di dalam perjanjian yang boleh dirujuk pada klausa penghapusan hutang dan tanggungjawab FELDA serta hak merujuk pertikaian kepada Jawatankuasa Tanam Semula.

“Klausa berkaitan pengurusan kebun kelihatan mirip klausa perjanjian tanam semula kerana ia merujuk kepada perkara sama. Kesimpulannya, perjanjian ini dibuat bagi melindungi kepentingan peneroka dan FELDA,” katanya.

Menerusi inisiatif itu, katanya, peneroka akan kurang terbeban dengan jumlah pembayaran balik bulanan berkurangan secara drastik iaitu sehingga maksimum RM300 atau kurang bagi sebulan, bergantung kepada kategori peneroka.

“Memandangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, beberapa siri penerangan secara maya sudah dilaksanakan kepada pengurus rancangan dan ketua peneroka dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) FELDA bagi memberi lebih pemahaman tentang pelaksanaan inisiatif ini.

“Sesi penerangan ini masih diteruskan dan warga peneroka disaran untuk merujuk pejabat rancangan bagi sebarang kekeliruan untuk lebih melancarkan urusan kedua-dua pihak. Mereka juga boleh mengutarakan persoalan melalui Sistem Aduan WhatsApp FELDA,” katanya.

Sementara itu, FELDA dalam kenyataan semalam berkata, Perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka Secara Bersyarat di antara FELDA dan peneroka, bersifat adil kepada kedua-dua pihak.

FELDA melalui kenyataan yang dimuat naik di Facebook, menjelaskan bersetuju menghapuskan sebahagian hutang peneroka setakat 31 Disember 2019 berdasarkan beberapa syarat.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *