KUALA NERUS – Seorang lelaki membeli seekor lembu sado baka Charolais buat ibadah korban untuk tiga isterinya sempena Adiladha minggu depan.
Lembu seberat 800 kilogram dan berharga RM8,000 itu yang dibeli akan dikorbankan untuk tiga isterinya iaitu Roslina Mohd Jam Marti, 31, Wan Nur Khairul Nazrah, 29, dan Nur Atikah Mohd Nazri, 25.
Ahli perniagaan, Hafizatul Najmi Pizat, 33 tahun, berkata, beliau memang sudah lama memasang niat menyembelih lembu baka terbaik untuk dijadikan ibadah korban kepada tiga isterinya setiap kali tibanya Aidiladha.
“Pada setiap tahun, saya membuat ibadah korban untuk tiga isteri dengan hanya menyembelih lembu kampung berharga RM3,000 hingga RM4,000 seekor sahaja.
“Cuma pada tahun ini saya berniat meningkatkan sedikit ibadah korban dengan membeli seekor lembu baka yang lebih besar, sekali gus dapat memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Gomuk, Tepoh, di sini, hari ini.
Najmi berkata, daging lembu sado itu yang akan dikorbankan itu akan diagihkan kepada semua penduduk di sekitar kampung berkenaan.
“Mungkin ini sebagai tanda cinta dan sayang saya kepada tiga isteri yang selama ini sudah banyak berkorban untuk keluarga termasuk menjaga lapan anak kami,” katanya.
Bercerita mengenai petua hidup bahagia berpoligami katanya, bertanggungjawab dan adil dalam menguruskan keluarga paling penting bagi memastikan keluarga kekal bahagia.
“Bukan sahaja baik terhadap tiga isteri tetapi perlu juga mesra dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa dan ahli keluarga semua isteri. Apabila mempunyai kemampuan dalam semua segi, hidup berpoligami akan menjadi harmoni dan tidak menimbulkan fitnah,” katanya.
Sementara itu, isteri pertamanya, Roslina berkata, dia bersyukur kerana mempunyai suami yang penyayang dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai ketua keluarga.
“Walaupun hidup bermadu, saya, suami, dua madu dan anak-anak hidup dalam suasana harmoni. Suami sangat adil dalam segala segi sehingga tiada apa yang boleh membuatkan kami berasa tidak puas hati,” katanya.
Kredit: BH Online