BACHOK – Walaupun pernah ditipu orang tengah, ia tidak mematahkan semangat isteri seorang nelayan di Kampung Kubang Golok di sini untuk bangkit mengusahakan produk ikan bekok atau sebutan sebenarnya ikan bengkak.
Rohani Ya, 51, berkata, jualan ikan bekok yang diusahakannya laris dijual secara dalam talian, sekali gus turut membantu nelayan pantai menjual hasil tangkapan mereka.
Berkongsi pengalaman bersama Utusan Malaysia, katanya, sebelum ini ada pemborong yang sanggup menipu proses jual beli tanpa mengira keringat pengusaha kecil sepertinya.
“Saya mulakan perusahan kecil ini dengan modal RM50 untuk membeli ikan dan garam selain hasil tangkapan yang dibawa pulang suami, Shaari Zakaria, 53, nelayan sepenuh masa yang turun pagi pulang petang.
“Niaga pun pada waktu itu secara kecil-kecilan, namun semakin rancak apabila negara dilanda pandemik Covid-19 dan permintaan dalam talian amat memberangsangkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, baru-baru ini.
Rohani berkata, dia mendapat bantuan anak dan menantu mempromosikan ikan bekok dalam internet dan menggunakan beberapa aplikasi media sosial.
Menurutnya, proses menyiang, peraman garam dan menjemur ikan dibuat sendiri termasuk kerja-kerja membungkus sebelum diposkan kepada pelanggan.
“Saya menyimpan ikan tersebut dalam sebuah peti sejuk beku yang kecil. Saya ada memohon bantuan mendapatkan peti sejuk lebih besar daripada pihak bertanggungjawab untuk membesarkan kapasiti projek tetapi tiada sebarang jawapan.
“Saya juga amat mengharapkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tampil menilai dan memberi khidmat nasihat dan yang lebih diperlukan membantu menghulurkan peti simpanan sejuk beku sekiranya ada peruntukan,” ujarnya.
Kredit: Utusan Online