Jual Ayam Goreng Demi Selamat Van Sekolah

CHUKAI – “Saya terpaksa berniaga ayam goreng bagi memastikan van sekolah saya tidak ditarik pihak bank,” kata pengusaha bas sekolah, Fatimah Noor Mohamad.

Fatimah, 63, berkata dia terpaksa berbuat demikian bagi memastikan bayaran ansuran bulanan van sekolah sebanyak RM900 itu dilunaskan.

“Saya mula berniaga sejak sekolah ditutup pada tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 diumumkan. Ketika itu saya sangat buntu memikirkan bagaimana nak bayar ansuran bulanan itu.

“Bagi mengelak van ditarik, saya mengambil keputusan membuka sebuah gerai dengan menjual ayam goreng gunting padaharga RM1,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Geliga, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, dia terpaksa menjual ayam goreng pada harga rendah kerana memahami keadaan ekonomi penduduk kampung terdiri daripada golongan nelayan.

“Saya tengok penduduk ramai yang susah dan saya ambil keputusan perlu berniaga sambil beramal,” katanya.

Menurutnya, dia berharap pamdemik Covid-19 dapat segera pulih supaya sekolah dibuka semula dan perkhidmatan van dan bas sekolah dibenarkan beroperasi.

“Saya sangat sayang dengan van sekolah yang sebelum ini menjadi sumber pendapatan utama keluarga.

“Biarlah pendapatan menjual ayam dengan air berkarbonat ini tidak seberapa, namun sedikit sebanyak menyumbang kepada pendapatan saya.

“Pernah terfikir nak ambil moratorium dengan pihak bank, tapi kalau ambil saya terpaksa berhutang dengan pihak bank lebih lama,” kata ibu kepada enam anak ini.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *