PUTRAJAYA – Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara yang dilancarkan hari ini memberi panduan lengkap kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membangunkan bandar rendah karbon di kawasan pentadbiran masing-masing.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan itu bagi memperkukuh kerangka pelaksanaan inisiatif rendah karbon dengan lebih sistematik serta mencapai sasaran pengurangan karbon yang jelas.
Menurut beliau, sebagai langkah galakan dan sokongan kepada PBT melaksanakan inisiatif bandar rendah karbon berimpak tinggi, kerajaan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melancarkan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) sebanyak RM35 juta.
Perdana Menteri menjelaskan, keutamaan diberikan kepada PBT yang sudah melaksanakan program bandar rendah karbon (LCCF) serta menyertai program Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C) di peringkat kategori Zon Rendah Karbon.
“Ini adalah sokongan dan suntikan dana diberikan kepada PBT untuk memacu tindakan perubahan iklim di peringkat PBT dan akar umbi.
“Sehubungan itu, saya menyeru agar pihak berkepentingan terutama PBT menyambut baik usaha kerajaan dan memberikan kerjasama serta komitmen jitu dan berterusan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam melaksanakan transformasi ke arah bandar rendah karbon yang dibawa melalui Pelan ini.
“Saya amat yakin inisiatif ke arah bandar-bandar rendah karbon di Malaysia boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan menggunakan pendekatan bersepadu dan sistematik,” katanya ketika berucap pada Majlis Persidangan Bandar Rendah Karbon Malaysia (MyL3C) dan pelancaran Pelan itu secara maya, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Muhyiddin berkata, berdasarkan kajian Global Commission on the Economy and Climate, analisis peringkat bandar terkini berkaitan kes ekonomi bagi tindakan rendah karbon menunjukkan bahawa langkah-langkah bandar rendah karbon mewakili peluang ekonomi berjumlah AS$16.6 trilion di seluruh dunia.
Katanya, ia berdasarkan hanya kepada penjimatan tenaga yang boleh diperoleh daripada pelaburan rendah karbon.
Justeru, kata beliau, transformasi bandar-bandar di Malaysia kepada bandar rendah karbon akan membangunkan ekonomi hijau tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menarik minat pelaburan domestik dan antarabangsa.
“Antara sektor yang mendapat manfaat dari usaha ini adalah sektor tenaga lestari, sektor mobiliti rendah karbon, sektor pengurusan sisa dan kitaran semula dan sektor kecekapan air,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan negeri juga perlu menyelaras pelaksanaan bandar rendah karbon dan menyokong usaha yang dilaksanakan di peringkat PBT dengan menyediakan peruntukan termasuk galakan penyertaan PBT dalam program Cabaran LCC 2030.
Di samping itu, katanya, elemen bandar rendah karbon wajar dipertimbangkan kerajaan negeri untuk diterapkan dalam perancangan pembangunan seperti rancangan struktur negeri.
“Walaupun aktiviti-aktiviti dalam kawasan bandar merupakan penyumbang utama pelepasan gas rumah kaca (GHG), namun bandar-bandar juga memainkan peranan penting dalam tindakan perubahan iklim menuju ke arah penghuni bandar yang sejahtera dan bandar Malaysia yang lestari,” katanya.
Kredit: Utusan Online