Empat Beradik Lembam Terima Vaksin

PASIR PUTEH – Gelagat empat beradik orang kelainan upaya (OKU) yang saling menenangkan antara satu sama lain ketika hendak menerima suntikan vaksin, menarik perhatian ramai di Masjid Padang Pak Amat, di sini.

Muhammad Bazri Ahmad, 30; Muhammad Zariman, 28; Siti Nuraini, 24 dan Siti Ainshah, 22, yang mengalami masalah lembam, dilihat saling menasihati sesama mereka berikutan semuanya takut pada jarum.

Bapa mereka, Ahmad Hamid, 52, berkata sepatutnya lima anak beliau yang OKU menerima vaksinasi, namun anak ketiga, Muhammad Safuan, 26, tiba-tiba tidak mahu ikut bersama.

“Saya bersyukur kerana empat anak istimewa saya menerima vaksin, tambah pula mereka adalah golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti, lebih-lebih lagi Muhammad Bazri dan Muhammad Zariman yang bekerja mengambil upah menjaga lembu dan berkebun.

“Sejak diberitahu akan menerima vaksin, ada anak yang awalnya menolak, namun selepas diberi penjelasan, mereka akur kerana mereka juga tidak mahu dijangkiti COVID-19,” katanya.

Keluarga itu ditemui pada Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Masjid Padang Pak Amat, di sini, hari ini.

Ahmad dan isteri, Rohana Che Mansor, 51, bersama empat anak dibawa ke pusat berkenaan oleh sukarelawan Thirdforce Pasir Puteh, di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS) berikuran tidak mempunyai pengangkutan sendiri.

“Saya sendiri tidak tahu cara mendaftar untuk di aplikasi MySejahtera, namun Alhamdulillah, kami sekeluarga dibantu oleh tenaga pengajar di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Gaal, Jeram, di sini, yang pernah mendidik anak saya,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai tukang kebun, mempunyai lapan orang anak dan semuanya adalah OKU kategori lembam.

Ahmad berkata, diuji dengan anak OKU bukan suatu yang mudah buat beliau dan isteri, namun mereka reda dan menerimanya sebagai anugerah yang terindah.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *