Boleh Tak Aunty Ambil Beras Ni?

BOLEH tak aunty ambik beras daripada MAIK ni?

Aunty bukan Islam, tapi Aunty susah sekarang ni, suami pun dah dua bulan tak kerja sebab PKP. Kalau tak boleh tak apa Aunty balik.

Itulah yang ditanyakan Fang Lee Chou, 66 dari Jalan Berek 12, Kota Bharu ketika singgah di Program Bantuan Prihatin Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Bandar Kota Bharu hari ini.

Hakikatnya, walaupun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dikenali sebagai satu agensi berkaitan agama, namun sumbangan serta bantuan yang dihulurkan merangkumi semua pihak tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit mahu pun negara.

Itulah yang dilakukan MAIK terutamanya ketika rakyat mengharungi keperitan pandemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh negara, khususnya membantu masyarakat di Kelantan menggunakan dana baitulmal mahupun menerusi sumber pelaburan dan sebagainya.

Untuk itu, MAIK tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan menerusi Program Prihatin MAIK, yang sehingga kini sudah sudah memasuki Fasa Kelima.

Pelbagai usaha yang dilakukan MAIK untuk meminimumkan jumlah rakyat yang tercicir daripada menerima bantuan. Maka, MAIK berganding bahu bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO) terpilih untuk membantu mereka memerlukan di seluruh ceruk.

Hari ini, MAIK diwakili Ketua Pegawai Pembangunan, Mohd Azman Ghazali bersama Pegawai Komunikasi Korporat, Muhamad Firdaus Mat Rahim turun padang bersama Pusat Penerangan dan Dakwah Islam Antarabangsa (IIDAC) menyampaikan bakul makanan dan juga nasi bungkus kepada 150 asnaf dan gelandangan di sekitar Kota Bharu.

Program berhasrat untuk meringankan beban dan mengembalikan kegembiraan kumpulan terkesan, hilang pendapatan mahupun terputus bekalan makanan itu turut disertai Presiden IIDAC, Muhammad Michael yang sama membantu.

Berbalik kepada cerita Aunty tadi, dia sangat berterima kasih kepada MAIK kerana diberikan kotak makanan dan juga bungkusan nasi hari ini meskipun dia bukan orang Islam.

“Aunty baru faham…walaupun duit zakat Aunty tidak boleh terima, tetapi MAIK ada dana lain untuk bantu orang bukan Islam… Terima kasih banyaklah MAIK, Aunty baru duk fikir nak cari beras sebab dua bulan dan Uncle tidak bekerja. Anak-anak ada tapi Aunty tak nak susahkan mereka,” katanya.

Alhamdulillah… Kami bukan sahaja dapat menggembirakan saudara seagama tetapi insan berbeza agama juga dapat merasai kenikmatannya.

Selain itu, seorang saudara baharu, Abdul Rahman Vejayab Abdullah, 66, turut melahirkan kesyukuran dengan sumbangan yang diberikan MAIK hari ini.

Tidak malu berkongsi cerita, bapa tiga anak memberitahu, sepanjang PKP ini sudah beberapa kali dia terputus bekalan makanan. Sedih memikirkan nasib diri.

Luahnya, dia bernasib baik kerana kadang-kala dia dibantu mertua dan juga jira-jiran yang baik hati.

Hati kami juga turut tersentuh hari ini, bukan sahaja yang mempunyai keluarga dan anak-anak berkongsi kegembiraan mendapat bakul makanan hari ini, namun seorang warga emas tinggal sebatang kara juga turut gembira dan tersenyum.

“Mujurlah ada MAIK… sudah dua tiga hari beras habis. Masih boleh bertahan sebab saya sorang jah kat rumah tapi tipulah kalau pakcik tak bimbang dan tak lapar.

“Nak kerja pun tak boleh, mata rabun.. Walaupun duduk sebatang kara tapi pak cik tetap kena makan juga. Terima kasih sangat-sangat,” katanya disusuli gelak dan ucapan Alhamdulillah, nampak keningnya turut ‘tersenyum’.

Kami yang mendengar luahan dan ucapan terima kasih disaat penerima sedang memeluk sekampit berat ketika itu sangat gembira mendengarnya. Apatah lagi mereka yang tidak putus-putus memberikan kepercayaan kepada MAIK dengan menginfakkan hartanya untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *