KUALA BERANG – Tersentuh melihat kesusahan dihadapi masyarakat yang terjejas kerana pandemik COVD-19, pemilik restoran Umira Nasi Kukus mengagihkan 300 bungkus nasi kukus percuma kepada orang ramai.
Usaha murni itu dilakukan Zuraini Yaacob, 53, sejak sebulan lalu dengan sebanyak 100 bungkus disediakan di tiga kedai miliknya di Kuala Berang, Bukit Payong dan Wakaf Tapai di Marang pada setiap Rabu.
Zuraini berkata, pihaknya terpanggil mengagihkan nasi kukus secara percuma itu selepas melihat kesusahan dihadapi masyarakat apabila ada antara mereka dibuang kerja sehingga terputus bekalan makanan.
“Pandemik COVID-19 ini memang memberi kesan besar terutama kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sebab itu saya bersama anak-anak mengambil inisiatif ini.
“Sebelum ini, bekalan makanan ditempatkan di kawasan masjid namun kali ini kami mengagihkan di kedai selain turut menyumbang barang keperluan harian kepada mereka yang memerlukan.
“Kami tidak mengehadkan jumlah nasi kukus yang boleh diambil dan orang ramai boleh mengambil nasi kukus yang disediakan ini mengikut keperluan mereka.
“Insya-Allah, program ini (nasi kukus percuma) ini akan diteruskan bergantung kepada situasi semasa,” katanya.
Sementara itu, warga emas, Kamariah Abdullah,70, bersyukur kerana masih banyak pihak yang sudi membantu golongan memerlukan dengan pelbagai cara.
“Saya memang jarang masak kerana hanya tinggal berdua bersama suami (Mohd Hassan Abdullah, 80 tahun) dan biasanya akan beli dua bungkus nasi kukus namun apabila ada orang bagi nasi ini sekurang-kurangnya saya boleh berjimat,” katanya.
Pelajar, Nor Aina Solehah Muda, 19, pula berkata, usaha murni itu memberi manfaat terutama kepada mereka yang tiada punca pendapatan.
“Kita tahu sekarang ini ramai yang susah dan sedikit sebanyak meringankan beban apabila ada pihak yang tampil memberi bantuan seperti ini,” katanya.
Kredit: BH Online