Bayi 38 Minggu Meninggal Dunia Akibat Covid-19, Ibu Masih Di ICU

KUALA LUMPUR – Seorang bayi lelaki berusia 38 minggu meninggal dunia akibat Covid-19, antara korban termuda sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak, Taman Selaseh, di sini malam tadi.

Lebih memilukan apabila ibu bayi itu difahamkan masih bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di negara ini.

Sementara itu, bapanya bersama lapan anak lain sedang menjalani kuarantin di rumah.

Kisah itu dikongsikan menerusi ciapan di Twitter dan hantaran di Facebook (Fb) rasmi Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

“Ya Allah… sayu hati kami di keheningan malam tadi, kali pertama menerima jenazah Covid-19 termuda bayi lelaki berusia 38 minggu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak, Taman Selaseh.

“Semoga dikurniakan ketabahan buat seluruh ahli keluarga.

“Insya-Allah, anak kecil ini menanti di syurga, memberikan syafaat buat kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak,” katanya.

Susulan perkongsian kisah itu, ramai pengguna Twitter dan Fb meninggalkan komen dengan rata-ratanya mendoakan keluarga bayi berkenaan diberi ketabahan atas ujian diberikan.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan berada dalam lindungan Allah buat barisan hadapan semoga Allah membalas segala kebaikan dengan seberat-berat timbangan sebelah kanan dan kosongkan timbangan sebelah kiri Amin,” ciap seorang pengguna Twitter bernama Wardina Awatif.

Sementara itu, seorang lagi, Riyan Othman turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bayi berkenaan di ruangan komen Facebook (Fb) JAWI.

“Salam takziah. Ujian besar untuk keluarga ini.

“Semoga dipermudahkan urusan keluarga ini,” katanya.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *