Banjir Di Raub Mulai Surut

RAUB – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan sentiasa melakukan pemantauan dari masa ke masa situasi banjir yang melanda daerah ini sejak Isnin.

Ketua Zon 3, Penguasa Bomba, Shahrul Nizam Nasir berkata, hasil pemantauan di kawasan terlibat, air telah mula surut sejak pagi Selasa.

Menurut beliau, ada sebahagian mangsa telah pulang untuk membersihkan rumah masing-masing dengan keadaan cuaca mendung setakat ini.

“Setakat ini, pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka menempatkan mangsa banjir.

“Dijangka penduduk boleh pulang ke rumah masing-masing jika cuaca berkeadaan baik dan surut sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Dalam portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 7.46 pagi, sebanyak tujuh buah PPS dibuka sejak Isnin membabitkan 241 mangsa daripada 63 keluarga ditempatkan di PPS terlibat di daerah itu.

Tujuh PPS yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kundang Patah yang menempatkan 114 orang,
Dewan Serbaguna Kampung Pia (58), SK Ulu Sungai (37), Masjid Kampung Kuala Semantan (16), Balairaya Kampung Gesing (enam) dan masing-masing lima orang di Dewan Orang Ramai Kampung Chenua serta Balai Raya Kampung Sengkela.

Kredit: Sinar Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *