KUALA TERENGGANU – Lebih 2,000 penduduk di dua kampung di Kemaman kini menikmati jaringan telekomunikasi 4G yang lebih baik apabila dua menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) mula beroperasi sejak bulan lalu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan berkata, dua menara masing-masing di Kampung Pengkalan Rangoon dan Kampung Pondok Pasir mula beroperasi sepenuhnya Jun lalu.
Selain itu, katanya, projek talian tetap gentian optik di Kemaman juga sedang giat dilaksanakan membabitkan 8,928 premis.
“Sehingga kini, sebanyak 6,091 premis baharu sudah mendapat jaringan gentian optik berkelajuan tinggi, manakala bakinya iaitu 2,837 akan siap menjelang suku keempat tahun depan.
“Peluasan rangkaian gentian optik dan pembinaan menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu akan memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk di kawasan pedalaman,” menurut kenyataan itu.
Beliau berkata, melalui usaha itu, penduduk di kawasan berkenaan kini dapat melaksanakan pelbagai aktiviti harian seperti tujuan pembelajaran, Bekerja Dari Rumah (BDR), perhubungan mahupun aktiviti ekonomi dalam talian, dengan lancar.
Kredit: BH Online