Sempat Mengadu Sakit Kepala, Demam

KUALA NERUS – Pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang, Muhd. Adham Hazim Muhd. Rizaini, 19, yang meninggal dunia kelmarin mengadu sakit kepala sehari sebelum dia tidak sedarkan diri, Sabtu lalu.

Bapanya, Mohd. Rizaini Gha­z­ali, 51, berkata, Muhd. Adham Hazim yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu mengadu perkara itu kepada ibunya, Rosfazilah Salleh, 46, kira-kira pukul 5 pagi.

“Ibunya (Rosfazilah) sempat menasihatkan Muhd. Adham Hazim agar menjaga kesihatan kerana kerap tidur lewat sejak akhir-akhir ini.

“Arwah kerap berjaga hingga lewat pagi untuk mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan akhir semester tidak lama lagi disusuli dengan bermain permainan online,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tepoh di sini semalam.

Mohd. Rizaini berkata, anak keduanya itu secara tiba-tiba mengetuk pintu bilik tidur mereka pukul 5 pagi dalam keadaan merangkak meminta pertolongan kerana mengalami kesakitan yang amat sangat pada bahagian kepalanya selain badan terasa panas pada pukul 5 pagi.

“Saya bergegas membawanya ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dimaklumkan doktor keadaan anak yang agak kritikal.

“Dia kemudiannya dipindahkan ke wad biasa sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.52 malam tadi (kelmarin),” katanya.

Bercerita lanjut, Mohd. Rizaini memberitahu, dia tidak pernah mendengar anaknya itu merungut atau tertekan belajar secara online sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebaliknya sentiasa tekun dan bersemangat untuk kecemerlangannya dalam pelajaran.

“Arwah juga seorang yang aktif bersukan dan gemar berniaga secara online. Tidak sangka jadi begitu sebab dia tidak pernah mempunyai sakit sebelum ini,” ujarnya yang merupakan pengurus teknikal sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu.

Dipercayai Muhd. Adham Hazim yang merupakan pelajar semester kedua meninggal dunia akibat pendarahan di bahagian kepala.

Sementara itu, Rektor UiTM Pahang, Profesor. Dr. Mohd. Ilham Adenan berkata, Muhd. Adham Hazim merupakan seorang pelajar yang cemerlang yang mendapat Anugerah Dekan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.89 pada semester satu.

“Allahyarham mendaftar ma­suk pada Oktober tahun lalu dan merupakan pelajar yang baik selain menunjukkan prestasi cemerlang pada semester lalu.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham semoga keluarga arwah tabah menghadapi ujian ini,” katanya.

Menurut Mohd. Ilham, Allahyarham yang mendaftar pada Oktober tahun lalu tidak pernah mengikuti kelas bersemuka di kampus, sebaliknya hanya mengikuti pembelajaran terbuka dan secara jarak jauh (ODL).

Katanya, Allahyarham mengikuti ODL di rumahnya di Kuala Nerus, Terengganu seperti mana pelajar-pelajar lain yang mengikuti pengajian di rumah masing-masing susulan pandemik Co­vid-19.

Kosmo! semalam melaporkan Nur Natasya Ezreen Azemi, 22, yang merupakan pelajar UiTM Merbok, Sungai Petani, Kedah meninggal dunia selepas pengsan ketika menyiapkan kerja kursus pada Jumaat lalu.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *