Pengusaha Restoran Bakal Gulung Tikar

KUALA TERENGGANU – Lebih 100 pengusaha restoran, kedai makan dan kafe akan gulung tikar, jika pelanggan masih tidak dibenarkan makan dalam premis, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengusaha menjelaskan pendapatan mereka terjejas sehingga 80 peratus susulan pelaksanaan PKP, sejak Mac tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

Ada yang terpaksa membuat pinjaman bank, menjual kereta dan memberhenti pekerja, bagi menampung kos operasi dan beroperasi dalam kerugian, sekiranya arahan tidak membenarkan pelanggan makan di dalam kedai masih berkuat kuasa beberapa minggu lagi.

Wakil Terengganu Restaurant & Cafe Owner Association (TR&CO), Muhammad Adam Zawawi, berkata kerajaan negeri wajar membenarkan pelanggan makan di dalam kedai dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Kita harap pihak berkaitan dapat lihat dan kaji perkara ini kerana kami memang terhimpit, sehingga ada yang terpaksa membuat pinjaman bank semata-mata mahu membayar sewa kedai dan gaji pekerja.

“Sepatutnya pinjaman digunakan pusingan modal tetapi kerana hasil jualan yang tidak seberapa, menyebabkan kami terpaksa membuat pinjaman bank untuk bayar gaji dan sewa kedai.

“Setiap pemilik kedai mempunyai sekurang-kurangnya 10 pekerja, namun bagaimana kami mahu menampung kos lain termasuk gaji, sewa dan sebagainya, jika hasil jualan yang diperoleh hanya 20 peratus sehingga menyebabkan ada yang terpaksa memberhenti pekerja,” katanya.

Pengusaha restoran, Wan Muhd Ali Wan Ahmad Affandi, 38, berkata Terengganu kini berada pada fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan jangkitan COVID-19 juga terkawal ketika ini.

“Di Terengganu sendiri, tidak semua tempat mempunyai kes atau ada kluster COVID-19. Jadi sewajarnya diberikan kebenaran untuk pelanggan makan di kedai.

“Sebagai peniaga, kami bukan tidak berusaha melakukan perniagaan dengan menjual secara atas talian, namun ini tetap tidak dapat menampung kos,” katanya mengusahakan kedai nasi ayam.

Seorang lagi peniaga, Helmi Haffizudin Suhaimi, 31, berpendapat tidak ada masalah sekiranya kerajaan negeri membenarkan pelanggan makan di kedai kerana perkara sama pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya rasa semua pihak termasuk peniaga atau pelanggan sendiri tahu tanggungjawab masing-masing. Jadi kita harap kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendengar suara kami yang benar-benar terhimpit.

“Kita juga harap kerajaan dapat mempertimbang bantuan segera sama ada dalam bentuk pinjaman atau geran kepada peniaga yang terjejas,” katanya.

Dianggarkan, terdapat lebih 1,000 restoran di Terengganu dengan kebanyakan pekerja terdiri daripada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang bergantung kepada pendapatan harian.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *