Kerani Wanita Ditipu Rakan Facebook Rugi RM40,000

KUANTAN – Demi mendapatkan hadiah persahabatan dikirim rakan lelaki yang dikenali di Facebook, seorang kerani wanita terpaksa menanggung kerugian sehingga RM40,000 selepas diperdaya lelaki berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 44 tahun dari Pekan berkenalan dengan suspek di Facebook pada 27 Jun lalu.

“Suspek memberitahu dia bekerja sebagai juruterbang dan kini menetap di United Kingdom serta memberitahu menyukai wanita terbabit dan telah memberikan nombor telefonnya.

“Pada 9 Julai lalu kira-kira pukul 8 malam suspek memberitahu telah mengirimkan hadiah kepada mangsa sebagai tanda persahabatan mereka sebelum menghantar mesej keesokan harinya memaklumkan ada menyelitkan wang tunai berjumlah USD30,000 dalam hadiah berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pada hari yang sama kira-kira pukul 1 petang, mangsa menerima satu sistem pesanan ringkas (SMS) kononnya dari syarikat penghantaran memaklumkan bungkusan dari luar negara sudah sampai.

Katanya, mangsa kemudian diminta untuk membayar caj penghantaran tempatan sebanyak RM1,500 dan mangsa membuat bayaran berkenaan melalui pemindahan wang ke akaun yang diberikan kira-kira pukul 2 petang.

“Kemudian ‘syarikat penghantaran’ terbabit mengesahkan telah menerima bayaran berkenaan dan memberitahu pihaknya mengimbas bungkusan itu dan mendapati terdapat wang tunai didalamnya.

“Mangsa diminta untuk membayar sebanyak RM3,500 sebagai sijil insurans wang dan mangsa telah membuat bayaran terbabit ke akaun yang sama kira-kira pukul 2.59 petang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Wazir berkata, pada 11 Julai lalu, mangsa sekali lagi menerima SMS daripada pihak terbabit menyatakan perlu membayar ‘police stamp’ bersama pihak mahkamah dan pengesahan kerajaan sebanyak RM15,000.

“Pada pukul 8.18 pagi hari sama, mangsa telah membuat pemindahan wang ke akaun yang diberikan dan selepas itu, mangsa sekali lagi diminta untuk membayar sebanyak RM20,000 bagi melengkapkan proses mengambil bungkusan berkenaan.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa sekali lagi memindahkan wang berjumlah RM20,000 ke akaun bank yang diberikan,” katanya.

Ujarnya, pada pukul 12.20 tengah hari, mangsa diminta untuk memasukkan wang sebanyak RM30,000 bagi mendapatkan tandangan ketua hakim namun mangsa mula berasa curiga dan membuat laporan polis.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *