Kelantan Catat Kluster Tertinggi Covid-19

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 16 kluster baharu yang dilaporkan dikesan di 10 negeri, hari ini.

Daripada jumlah itu, lapan kluster adalah membabitkan komuniti, manakala empat lagi dari tempat kerja dan tiga kluster berkaitan kumpulan berisiko tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kelantan dilaporkan mencatat kluster baharu tertinggi membabitkan Kluster Kampung Pulau Kundur, Kluster Jalan Dusun Langgar, Kluster Lorong Kubur Maras dan Kluster Seksyen 14 Jalan Bayam yang dilaporkan di Kota Bharu, Tumpat serta Pasir Mas.

Menurutnya, Selangor pula mencatatkan jumlah kluster baharu kedua tertinggi semalam apabila mengesan Kluster Resort Sepang di Sepang, Kluster Industri Jalan Utas di Klang, Hulu Langat, Kuala Langat dan Petaling serta Kluster Bayan Tiga di Kuala Langat dan Klang.

“Terengganu mencatatkan dua kluster baharu iaitu Kluster Tanjung Gelam di Kuala Nerus dan Kluster Tolok Molor di Kuala Terengganu.

“Di Pahang, satu kluster dikesan iaitu Kluster Rantau Kesidang di Maran dan Jerantut, manakala Kluster Ketior Dalam dilaporkan dikesan di Kuala Kangsar, Perak.

“Selain itu, Sarawak turut mengenal pasti Kluster Kampung Kedaie yang dilaporkan di Lundu dengan 23 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kuala Lumpur turut mencatatkan Kluster Tapak Bina Jalan Cendana di Titiwangsa dengan dengan 11 kes dikesan positif Covid-19.

“Negeri Sembilan, Putrajaya dan Johor pula masing-masing mencatatkan satu kluster iaitu Kluster Lorong Sentosa Satu di Kuala Pilah, Kluster Putrajaya 15 di Putrajaya serta Kluster Taman Utama Satu di Muar dan Tangkak.

“Sebanyak 3,093 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 2,228 kluster dilaporkan tamat serta 865 kluster masih aktif,” katanya.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *