Anggota APM Berjalan Itik Selamatkan Kucing

HULU TERENGGANU – Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menunjukkan sikap budiman dengan menyelamatkan seekor anak kucing yang terjatuh ke dalam pembentung sedalam 1.5 meter di pekan Kuala Berang di sini hari ini.

Empat anggota APM Hulu Terengganu tersebut mengambil masa 35 minit dengan memasuki kawasan pembetung berkenaan sepanjang lima meter bagi menyelamatkan anak kucing itu pada pukul 10.30 pagi.

Ketua Operasi APM Hulu Terengganu, Badrol Hisham Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima maklumat kes seekor anak kucing terjatuh ke dalam kawasan pembetung tersebut daripada seorang sukarelawan yang memberi makanan kepada kucing gelandangan di sekitar Kuala Berang.

“Wanita itu memberitahu terdengar bunyi seekor anak kucing dari arah pembentung tersebut.

“Pada mulanya, kami memberi umpan makanan bagi menarik perhatian anak kucing tersebut untuk keluar dari kawasan pembentung berkenaan tetapi gagal,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Badrol Hisham berkata, mereka kemudiannya memutuskan untuk memasuki kawasan pembentung itu dengan ‘berjalan itik’ dan membekalkan cahaya lampu suluh bagi menyelamatkan anak kucing berkenaan.

Ujar beliau, anak kucing tersebut berjaya ditemui tidak lama kemudian sebelum dibawa naik dan diberi makan.

“Ia yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah berlari menuju ke belakang bangunan berhampiran selepas kenyang,” katanya.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *