KOTA BHARU – Polis Kelantan melakukan siasatan dalaman susulan penahanan dua pegawai kanan polis meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, siasatan itu dilakukan selari dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, polis akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk membantu proses siasatan sehingga selesai.
“Terpulang kepada SPRM untuk mengambil tindakan selanjutnya. Setakat ini, untuk mengambil tindakan tata tertib, kita kena tunggu siasatan SPRM dahulu.
“Tindakan juga akan diambil apabila individu terbabit dituduh di mahkamah, buat masa ini kita akan tahan kerja. Apabila sudah jatuh hukum, baru kita akan gantung kerja dan penamatan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf di Pengkalan Chepa yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini, hari ini.
Pelaksanaan PKPD dua taman itu bermula kelmarin (Jumaat) sehingga 22 Julai ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) direman lima hari bermula semalam, bagi membantu siasatan membabitkan satu kes rasuah.
Ia susulan penahanan seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) oleh SPRM kelmarin bagi membantu siasatan dakwaan meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.
Kredit: BH Online