Putus Bekalan Beras, Terpaksa Jual Basikal RM30

TUMPAT – Beberapa hari terputus beras dan hanya makan lokan bakar yang dikutip di sungai belakang rumah mendorong sebuah keluarga lapan beranak, memacak bendera putih apabila keadaan makin meruncing.

Nik Kamarudin Nik Ibrahim, 27, berkata dia sebelum ini bekerja sebagai pengutip besi buruk sudah lama tidak bekerja dan disebabkan perlu menyara isteri serta dua anak, dia bersama tiga abangnya mencari lokan serta ketam di sungai belakang rumah mereka di Kampung Serkong di sini.

Namun menurutnya, sejak beberapa minggu lalu, perahu yang digunakan rosak dan bocor menyebabkan mereka tidak dapat turun menangkap ketam untuk jualan dan makan sendiri.

“Saya dan adik beradik tidak tahu kerja apa lagi yang boleh dilakukan kerana kami semua bekerja kampung dan ada tanggungan masing-masing.

“Segala wang simpanan sudah habis digunakan dan ketika beras hanya tinggal segenggam sahaja, kami tebalkan muka memacak kain putih dijadikan bendera sebagai ikhtiar terakhir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pengkalan Kubor, baru-baru ini.

Nik Kamarudin yang juga kudung dua jari akibat kemalangan ketika bekerja di kilang elektronik 10 tahun lalu berkata, selepas dua hari ‘bendera’ putih itu berkibar, tiada yang datang membantu dan menyebabkan dia dan ahli keluarga lain kelaparan sehingga mengambil keputusan menjual basikal kepada penduduk kampung dengan harga RM30 untuk membeli makanan.

“Selepas itu barulah beberapa pihak daripada badan bukan kerajaan serta orang perseorangan hadir menghulurkan bantuan. Buat masa sekarang, bekalan makanan dan lampin pakai buang anak masih banyak dan mungkin cukup untuk tempoh sebulan.

“Kami risau jika keadaan ini berlanjutan menyebabkan saya dan tiga abang masih ‘menganggur’ di rumah malah untuk turun ke sungai juga tidak boleh kerana perahu belum dibaiki kerana tiada wang bagi membeli peralatan.

“Sampai bila kami perlu meminta-minta daripada orang kerana kami semua masih ada kudrat untuk bekerja tapi keadaan sekarang yang menjadikan kami sekeluarga hidup terdesak,” katanya.

Bagi yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Nik Kamarudin di talian 0199696190.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *