“Pergi Kosong, Balik Pun Kosong”

TEMERLOH – “Pergi kosong, balik pun kosong. Dapat RM10 sehari pun sudah bertuah.” Itu antara keluhan pemandu teksi di sekitar bandar ini yang semakin hari semakin tertekan berikutan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

Mereka mendakwa, keadaan bertambah buruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan bermula 1 Jun lalu.

Haramai Abdul Rahman, 66, berkata, beliau pasrah dengan situasi kini yang menyebabkan pendapatan hariannya terjejas teruk.

Malah, katanya, PKP 3.0 menyebabkan rakan-rakan pemandu teksi lain terjejas sumber pendapatan yang lebih teruk berbanding dua PKP sebelum ini.

“Boleh dihitung dengan jari, ada berapa orang sahaja yang memerlukan perkhidmatan teksi. Bandar pun lengang.

“Ada masa langsung tiada penumpang. Tapi nak buat macam mana, kena juga berusaha,” kata pemandu teksi di Terminal Bas Lurah Semantan di sini pada Sabtu.

Haramai yang bekerja sebagai pemandu teksi sejak 30 tahun lalu mengakui bantuan yang diterima daripada kerajaan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka namun, bekas pesara anggota tentera itu tidak mahu hanya bergantung dengan bantuan itu semata-mata.

Bagi Mazlan Mohamad, 43 pula, beliau mengakui masih ada orang awam memerlukan khidmat mereka terutama untuk urusan kecemasan seperti ke hospital.

“Saya pernah dapat RM10 sahaja sehari. Kalau lebih pun bila ada dapat tempahan daripada penumpang terutama atas urusan pergi ke hospital,” ujarnya yang mula membawa teksi sejak berusia 21 tahun.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Temerloh, A Halim Awang berkata, setakat ini terdapat seramai 115 ahli persatuan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, hanya tinggal 60 pemandu yang masih aktif.

Menurutnya, kesan pandemik Covid-19 memang amat dirasai pemandu teksi selain terpaksa berdepan dengan saingan perkhidmatan e-hailing.

“Kita membantu ahli dengan menyalurkan sumbangan diterima daripada kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain,” katanya.

Kredit: Sinar Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *