TUMPAT – Kelantan berada di landasan yang betul untuk mencapai imuniti kelompok dengan sasaran 70 hingga 80 peratus daripada 1.2 juta rakyat di negeri itu menerima vaksin menjelang Oktober ini, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata ini berasaskan kepada proses vaksinasi yang berjalan lancar di seluruh negeri selain bekalan dos vaksin yang bakal diterima dalam jumlah besar mulai bulan ini.
“Kelantan dijangka menerima 438,000 dos vaksin bulan ini dengan penghantaran akan dilakukan secara berperingkat setiap minggu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program Outreach Vaksinasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Pasir Pekan, di sini hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan berkata program outreach itu adalah kerjasama antara Pusat Khidmat ADUN Pasir Pekan, Penghulu dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.
“Hari ini seramai 200 orang akan terima vaksin, program akan dilaksanakan selama empat hari membabitkan 800 orang penerima dari sekitar kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, Ahmad mengingatkan penduduk supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini bagi memastikan kes harian negeri itu kekal menurun seperti yang direkodkan sekarang.
Semalam, Kelantan mencatatkan 89 kes baharu COVID-19 dengan 2,467 kes masih dalam rawatan.
Kredit: Bernama