Hampir Semua 15,000 Pokok Musang King Sudah Ditebang

RAUB – Hampir semua kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam seluas lebih 101 hektar sudah ditebang.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad, berkata pencapaian itu adalah di luar jangkaan pihaknya yang memulakan Operasi Pamah pada 3 Julai lalu.

Katanya, beberapa faktor yang mempercepatkan aktiviti menebang, antaranya kemahiran tinggi kakitangan JPNP dan jumlah mereka yang ramai terbabit dalam operasi kali ini serta dianggap begitu mencabar.

Beliau berkata, lebih 100 kakitangan yang bertugas di hampir semua Pejabat Hutan Daerah (PHD) dikerah untuk menyertai operasi itu dan membantu melancarkan aktiviti menebang.

“Dalam tempoh sembilan hari, hampir semua 15,000 pokok durian Musang King yang tanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam berjaya ditebang. Peringkat awal, ia dijangka mengambil masa selama sebulan.

“Pencapaian itu begitu membanggakan semua pihak terutama apabila dapat menyelesaikan tugasan berkenaan dalam jangka masa begitu pantas,” katanya di sini, hari ini.

Nor Azirim berkata, kerjasama erat secara berpasukan antara kakitangan JPNP dengan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) turut menjadi faktor kelancaran Operasi Pamah.

Katanya, tugas seterusnya ialah membersihkan tapak bagi kerja menanam pokok hutan dalam hutan simpan terbabit.

“Aktiviti menanam pokok hutan perlu dilakukan segera secara berperingkat, lebih 20,000 pokok hutan perlu ditanam dalam hutan simpan terbabit.

“Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Rotan Tunggal, di sini bertanggungjawab sepenuhnya menanam pokok yang turut dibantu kakitangan daerah lain,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *