KOTA BHARU – Enam lokaliti di Kelantan masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan penularan kes COVID-19 di lokasi itu.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah, berkata enam lokaliti itu ialah dua di Pasir Puteh dan masing-masing satu di Kota Bharu, Kuala Krai, Machang serta Pasir Mas.
Katanya, bagi mengawal pergerakan penduduk di enam lokaliti itu, seramai 180 anggota termasuk pegawai yang bertugas iaitu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Anggota ini membuat kawalan dalam tempoh 24 jam untuk mengawal laluan sekali gus mengelakkan penduduk keluar masuk dari kawasan PKPD.
“Ada laluan yang kita letakkan kawat duri,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Pelaksanaan PKPD dua taman itu bermula Jumaat sehingga 22 Julai ini. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud.
Abdullah berharap, semua penduduk termasuk mereka yang berada dalam kawasan PKPD mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengekang penularan COVID-19.
Dalam perkembangan lain Abdullah berkata, kes bunuh yang membabitkan seorang wanita di kawasan hutan simpan Ulu Sat, di Kampung Chekar, di sini, Jumaat minggu lalu masih dalam siasatan.
Katanya, pihaknya masih menunggu keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.
Kredit: BH Online