MARAN – Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Muhammad Adham Hazim Mohd. Rizaini, 21, yang meninggal dunia di rumahnya di Kampung Kedai Tepoh di Terengganu malam semalam merupakan seorang pelajar yang cemerlang.
Rektor UiTM Pahang, Profesor. Dr. Mohd. Ilham Adenan berkata, pelajar diploma kejuruteraan awam berkenaan yang mendaftar pada Oktober tahun lalu merupakan penerima anugerah dekan dalam peperiksaan semester lalu.
“Allahyarham merupakan pelajar yang baik dan prestasinya juga cemerlang pada semester lalu.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga keluarga allahyarham tabah menghadapi ujian ini,” katanya di sini, hari ini.
Mohd. Adham Hazim yang merupakan pelajar semester kedua jurusan Diploma Kejuruteraan Awam menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada pukul 10.52 malam semalam.
Ayahnya, Mohd. Rizani Ghazali, 51, berkata anak kedua daripada lima beradik itu merangkak ke biliknya pada pukul 5 pagi dan mengadu sakit kepala sebelum tidak sedarkan diri.
Menurut Mohd. Ilham, Allahyarham yang mendaftar pada Oktober tahun lalu tidak pernah mengikuti kelas bersemuka di kampus dengan hanya mengikuti pembelajaran terbuka dan secara jarak jauh (ODL).
Katanya, allahyarham mengikuti ODL di rumahnya di Kuala Nerus Terengganu seperti mana pelajar-pelajar lain yang mengikuti pengajian di rumah masing-masing susulan pandemik Covid-19.
Kredit: Kosmo!