KUALA BERANG – Sebanyak 4,000 bakul makanan diagihkan kepada penduduk terkesan akibat pandemik COVID-19 di kawasan Parlimen Hulu Terengganu melalui peruntukan RM300,000 daripada Kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berkata bakul makanan itu diagihkan kepada penduduk di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Terengganu iaitu Kuala Berang, Ajil, Telemong dan Manir, bermula hari ini.
Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak 1,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada penerima di setiap DUN.
“Hari ini, program bermula di kawasan DUN Kuala Berang dan Ajil manakala pengagihan di dua lagi DUN akan dibuat esok.
“Insya-Allah, program agihan ini akan selesai esok namun jika masih ada yang terkesan, tiada pendapatan, hilang pekerjaan dan memerlukan bantuan (bakul makanan) boleh maklumkan kepada kita untuk tindakan lanjut.
“Kita turut mempermudahkan penyaluran bantuan apabila mereka yang terkesan tidak perlu mengisi borang tertentu sebaliknya terus menghubungi pegawai Parlimen dan penyelaras DUN,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Bakul Makan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang di Kampung Tajin di sini, hari ini.
Penduduk, Abu Bakar Musa, 54, berkata dia bersyukur apabila menjadi sebahagian daripada penerima bakul makanan itu.
“Saya hanya mengusahakan kebun buah-buahan dan biasanya hasil dijual kepada penduduk sekitar tetapi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 membataskan saya untuk menjual hasil tanaman yang ada.
“Jadi, apabila ada sumbangan seperti ini memang ia membantu meringankan perbelanjaan harian keluarga,” katanya yang mempunyai sembilan anak.
Kredit: BH Online