Peniaga Jual Ayam Murah Bantu Penduduk Terjejas

KUANTAN – Tidak dapat dinafikan tekanan dihadapi kebanyakan penduduk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja menjejaskan pendapatan bahkan ada yang kehilangan kerja.

Menyedari bebanan ditanggung penduduk ketika ini, seorang peniaga kedai runcit, Abd Latif Abdul Wahab, 50, mengambil inisiatif menawarkan ayam proses pada harga paling murah berbanding harga pasaran ketika ini.

Beliau yang sudah berniaga sejak kira-kira 30 tahun lalu berkata, sebanyak 150 ekor ayam proses disediakan kepada pelanggan dengan harga RM5.50 sekilogram.

“Harga ini adalah paling rendah berbanding kebiasaannya dijual pada harga RM7.50 hingga RM9.50 sekilogram di pasaran.

“Idea ini tercetus selepas menyedari kesan (pandemik) Covid-19 terhadap orang ramai. Ada yang hilang kerja, ada yang terputus sumber pendapatan, jadi, saya harap inisiatif ini dapat membantu mereka,” katanya ketika ditemui di kedai runcit miliknya dekat Jalan Tanjung Pasir-Bukit Goh, di sini, pagi tadi.

Abd Latif berkata, bekalan ayam proses itu diperoleh daripada pembekal di Kemaman, Terengganu dan beliau menawarkan harga murah itu kepada pelanggannya selama tiga hari, bermula hari ini.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *