Kluster Gong Pasir Punca PKPD Mukim Sura

DUNGUN – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim Sura melibatkan tiga lokaliti iaitu Perumahan Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam di sini mulai hari ini disebabkan peningkatan kes Kluster Gong Pasir.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunos berkata, kluster berkenaan yang dikesan pada 4 Julai lalu itu dicetuskan oleh aktiviti rentas negeri seorang individu yang sering berulang alik bekerja di zon merah.

“Ia diburukkan lagi dengan aktiviti berkumpul dan ziarah antara keluarga dan sahabat (dalam lokaliti berkenaan) sehingga setakat ini 79 kes positif Covid-19 telah dikesan.

“Sebanyak 53 kes positif Covid-19 tersebut dipercayai tersebar daripada aktiviti berkumpul dan ziarah berkenaan,” katanya ketika proses ujian saringan membabitkan penduduk terbabit di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Nor Azimi memberitahu, ujian saringan bersasar Covid-19 melibatkan seramai 1,105 penduduk di tiga lokaliti terbabit telah selesai sepenuhnya semalam.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan pelaksanaan PKPD di Perumahan Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam yang terletak di mukim Sura melibatkan 1,570 penduduk dan 318 rumah sehingga 23 Julai depan.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *