33,800 Bakul Makanan Telah Diagih Di Parlimen Jeli

JELI – Sebanyak 33,800 bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk di kawasan Parlimen Jeli yang terjejas akibat COVID-19 sejak Mac tahun lalu.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata, bantuan berkenaan diberikan secara berterusan daripada kerajaan, pejabat Ahli Parlimen dan dermawan untuk memastikan rakyat sentiasa mempunyai makanan.

“Bantuan bakul makanan ini diteruskan menerusi Pakej Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH)  yang akan diberikan secara berperingkat selama seminggu.

“Alhamdulillah hari ini kita mula mengagihkan bantuan bakul makanan hasil daripada peruntukan tambahan RM300,000 diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.”

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bakul makanan kepada penduduk Kampung Berdang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdullah Ya’kub.

Sebanyak 6,000 bakul makanan diagihkan kepada penduduk di kawasan Parlimen Jeli, yang terjejas akibat COVID-19, mulai hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata, bakul makanan itu diedarkan menerusi tiga saluran iaitu pejabat penghulu, masjid dan pemimpin masyarakat setempat.

“Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban penduduk terjejas akibat COVID-19,” katanya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *