UMNO Tak Dahaga Kuasa – Zahid

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan parti itu menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan kerana parti itu ‘dahagakan’ kuasa.

Sebaliknya, Presiden UMNO itu mendakwa keputusan berkenaan dibuat kerana UMNO perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara walaupun terpaksa menongkah arus.

“Jika dahagakan kuasa bukan begitu sifatnya. Lebih baik bergayut kepada kuasa sedia ada. UMNO tidak boleh jadi `pak sanggup’ menadah kegagalan kerajaan.

“UMNO juga mengambil keputusan itu kerana mahu negara dipulihkan segera,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Kelmarin, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilaporkan membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri berkuat kuasa serta merta.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, walaupun UMNO berada dalam kerajaan, ada pihak cuba dengan secara halus menggunakan ‘jenama’ UMNO untuk dipersalahkan.

“UMNO seolah-olah perlu dipertanggungjawabkan di sebalik kegagalan kerajaan PN,” katanya

Beliau berkata, UMNO turut dituduh sebagai kuat merungut, bercakap seperti pembangkang dan perjuangkan agenda peribadi Presiden UMNO.

“UMNO dituduh main politik, sedangkan mereka kekurangan ‘political will’ atau keazaman politik menyelamatkan rakyat. UMNO mendesak walaupun terpaksa menelan pelbagai tohmahan, kritikan dan diperlekeh,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *