Tunjuk Geran Tanah, Ceroboh HSBT, Kutip Musang King

RAUB – Seorang pekebun ditahan bersama 22 biji durian Musang King yang dipercayai dikutip di kebun durian haram di Hutan Simpan Batu Talam (HSBT) di sini.

Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan anggota Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di kompartmen 175 hutan simpan itu, semalam.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa), JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, pihaknya mengesan lelaki berkenaan menunggang motosikal Honda EX5 dan mendapati dia tidak mempunyai kebenaran untuk memasuki kawasan terbabit yang kini dalam Operasi Pamah.

Katanya, ketika disoal, lelaki itu mendakwa ke kebunnya yang terletak bersebelahan HSBT untuk mengambil durian yang mula gugur dan tidak sengaja memasuki kawasan larangan terbabit.

“Kita tidak pasti kenapa lelaki itu yang menetap di Kampung Tras, berada dalam kawasan hutan simpan, sedangkan kebunnya berada di luar kawasan berkenaan.

“Bersamanya juga ada 22 biji durian Musang King. Kita tidak menolak kemungkinan dia mengambil durian itu di dalam Hutan Simpan Batu Talam dan mahu menjualnya kepada pemborong,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, pekebun itu melepasi dua sekatan jalan raya (SJR) polis selepas memberi alasan mahu ke kebunnya sambil menunjukkan geran tanah sebagai bukti.

Katanya, durian dirampas dan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki hutan simpan tanpa permit, yang sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Operasi Pamah bagi memusnahkan kebun durian haram di 101 hektar HSBT, memasuki hari ketujuh, hari ini dan sudah menahan 22 pekerja kebun dan individu termasuk kerana melakukan provokasi terhadap pihak berkuasa pada Ahad lalu.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *