Teruja Solat Jumaat Hingga Terlupa Sejadah

KUALA TERENGGANU – Beberapa individu terpaksa pulang kehampaan apabila tidak dibenarkan memasuki Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini untuk menunaikan solat Jumaat kerana terlupa membawa sejadah.

Beberapa jemaah yang ditemui mengakui mereka tergesa-gesa ke masjid kerana bimbang dewan solat penuh sehingga terlupa membawa bersama sejadah.

“Kami juga terlupa kebenaran menunaikan solat Jumaat hari ini mengikut keluasan masjid,” katanya.

Sementara itu seorang jemaah, Nasir Ismail, 65, berkata dia bersyukur kerana dapat menunaikan solat Jumaat selepas sekian lama masjid ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kebenaran menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid dan surau sememangnya ditunggu-tunggu,” katanya.

Noor Fadzil Mohamed Nor, 68, berkata kebenaran menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di masjid serta surau sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya umat Islam di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, jemaah perlu mematuhi SOP bagi mengelak penularan COVID-19 sehingga memaksa kerajaan menarik balik kebenaran.

“Saya menjunjung kasih kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) kerana membenarkan aktiviti keagamaan di masjid terutama kebenaran menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Sementara itu, Imam masjid, Raja Ahmad Harif Raja Shaifulzaman, berkata membawa sejadah sendiri antara SOP yang perlu dipatuhi jemaah.

Katanya, beberapa jemaah didapati tidak membawa sejadah menyebabkan mereka tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat walaupun memakai pelitup muka.

“Semua jemaah perlu melakukan imbasan suhu badan menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki dewan solat,” katanya.

Raja Ahmad Harif berkata, jawatankuasa masjid memutuskan mengekalkan sistem nombor bagi menentukan jumlah jemaah.

“Walaupun masjid boleh memuatkan kira-kira 5,000 jemaah, hanya 850 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat hari ini selepas mengambil kira pematuhan penjarakan sosial seperti ditetapkan kerajaan,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *