Pencemaran Sungai Pukin Akibat Sisa Rawatan Kelapa Sawit

ROMPIN – Sisa rawatan kelapa sawit dari sebuah kilang di Ulu Keratong, dekat sini, dipercayai menjadi punca kepada pencemaran di Sungai Pukin.

Pegawai Daerah Rompin Ahmad Nasim Mohd Sidek berkata, kejadian berpunca apabila salah satu tebing kolam rawatan sisa sawit disedari runtuh pada Selasa lalu, menyebabkan sisa itu mengalir ke alur sungai.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengarahkan pihak kilang menghentikan operasi serta-merta, malah tindakan membaik pulih tebing itu dilakukan pada hari sama.

“Kita menerima aduan sungai berkenaan mula berbau sebelum JAS dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melakukan pemeriksaan dan mendapati ia berpunca daripada kilang berkenaan.

“Pencemaran itu dimaklumkan berlaku kira-kira 20 kilometer (km), bagaimanapun keadaan mula baik apabila kualiti air hampir 5 km dari alur sungai kembali normal,” katanya kepada pemberita selepas menerima taklimat daripada JAS dan meninjau lokasi kejadian, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah Razali Kassim dan Adun Bukit Ibam Datin Samsiah Arshad.

Beliau berkata, kejadian berkenaan turut menyebabkan lebih 11,000 pemilik akaun PAIP menghadapi gangguan bekalan air.

“Saya dimaklumkan PAIP dan pihak kilang telah menghantar bekalan air bersih kepada pengguna yang terjejas dan kita jangkakan perkara ini akan pulih dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Nasim berkata, pihaknya memandang serius isu pencemaran sungai dengan tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak yang terbabit.

“Denda maksimum boleh dikenakan kepada mereka setelah keputusan hasil siasatan menyeluruh selesai kelak dan kami akan mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan rundingan dengan kilang-kilang lain di kawasan ini supaya insiden yang sama tidak berulang,” katanya.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *