Operasi Tebang Pokok Durian Haram Lancar, Tiada Provokasi

BENTONG – Operasi memusnahkan pokok durian Musang King yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Batu Talam, Raub berjalan lancar dan terkawal tanpa ada lagi provokasi daripada mana-mana pihak.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata keadaan di Raub tenteram dan keselamatan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan tugas terjamin.

“Saya sendiri turun ke Raub untuk melihat keadaan sekitar bandar, mahkamah dan kawasan operasi yang berada dalam keadaan baik dan tenteram serta penduduk menjalani kehidupan seperti biasa.

“Dengan kawalan polis di seluruh kawasan berkenaan, keselamatan petugas terjamin dan keadaan tenang dan tenteram,” katanya pada Program Ops Bantu di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong di sini, semalam.

Operasi Pamah bagi memusnahkan pokok durian Musang King di kawasan seluas 101 hektar di Hutan Simpan Batu Talam dimulakan pada 3 Julai sehingga 2 Ogos depan.

Bagaimanapun operasi hari kedua dan ketiga terganggu berikutan provokasi oleh sekumpulan individu dipercayai pekebun sebelum Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan bagi mengawal operasi berkenaan.

Mohd Yusri berkata, pihak PGA melakukan kawalan di seluruh kawasan operasi bagi memastikan keselamatan petugas.

Katanya, kira-kira 60 anggota PGA melakukan pemantauan bersama polis termasuklah di dua Sekatan Jalan Raya (SJR) 24 jam di kawasan jalan masuk utama ke kawasan operasi berkenaan.

“Kita mengingatkan mana-mana individu supaya tidak cuba menceroboh kawasan berkenaan dan tidak melakukan provokasi kerana tindakan tegas,” katanya.

Sementara itu Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata sehingga semalam lebih 52 hektar kawasan hutan simpan yang ditanam durian dimusnahkan dan lebih ramai kakitangan JPNP dikerah untuk menebang pokok.

“Kita ingin memastikan Operasi Pamah ini dapat diselesaikan lebih awal daripada yang dirancang sebelum kerja menanam semula pokok hutan dilakukan,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *