KOTA BHARU – Lima beranak di Kampung Pasir Tok Kambing di sini, menjadikan stor baja sebagai tempat berteduh sejak lebih setahun lalu.
Stor dibahagikan kepada tiga ruang sempit iaitu dapur, bilik tidur buat dua anak perempuan serta ruang menyimpan pakaian.
Bahagian hadapan stor pula dijadikan tempat tidur pasangan suami isteri, R Monaliza R Berahim, 42 dan Azlin Abdul Ghani, 46 serta seorang anak lelaki mereka.
Pasangan itu dikurniakan tiga anak termasuk dua perempuan berusia 14 dan 16 tahun, manakala anak lelaki berusia 11 tahun.
Untuk tidak kelihatan terlalu terbuka, keluarga itu memasang jaring bagi menutup bahagian hadapan yang dijadikan tempat tidur selain menghalang nyamuk berikutan stor dikelilingi semak.
R Monaliza berkata, stor Jabatan Pertanian negeri itu digunakan untuk menyimpan baja, racun dan pelbagai mesin memandangkan suaminya adalah peserta untuk projek tanaman sayur.
“Hampir 10 tahun suami menanam sayur dan sebelum ini kami menumpang di rumah saudara kerana mengusahakan tanaman di tanah lain.
“Sekarang kami berpindah di kawasan ini yang disewa RM200 setahun namun rezeki tetap tidak berpihak kepada kami apabila tanaman masih belum menjadi terutama dua tahun lalu menyebabkan kami langsung tidak mendapat pulangan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
R Monaliza berkata, ketika ini mereka mengusahakan kunyit, mentimun dan jagung menggunakan sebahagian wang i-Sinar suaminya.
Menurutnya mereka mengambil keputusan untuk tinggal di stor itu bagi memudahkan kerja menanam sayur selain segan untuk menumpang di rumah saudara mara.
“Stor ini juga tiada bekalan elektrik dan tandas serta bilik mandi menyebabkan kami membuang air di kawasan semak berhampiran… untuk mandi kami menggunakan air perigi.
“Jika mahu buang air pada waktu malam, kami membawa lampu suluh dan kerap juga terserempak dengan haiwan berbisa,” katanya yang tidak mampu menyewa rumah dan berharap dapat membina rumah di atas tanah pusaka milik suaminya.
Terdahulu mereka menerima kunjungan dan bantuan daripada kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Che Norhayati Mohamed.
Kunjungan juga dilakukan wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor diketuai Setiausahanya, Alam Solah Awang Lah yang memberi jaminan akan membaik pulih stor jika diberi kebenaran pihak berkaitan selain menyediakan janakuasa.
Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi R Monaliza di talian 0129621154.
Kredit: BH Online