Kongsi Rezeki Dengan Golongan Memerlukan

KUANTAN – “Rezeki yang saya dapat setiap hari perlu dikongsikan dengan golongan memerlukan yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Mereka yang terkesan boleh datang ke tiga premis saya untuk mengambil keperluan asas yang disediakan setiap hari,” kata Pengarah Urusan Tanjak Kencana Sdn Bhd, Datuk Amadaldin Hamzah.

Menurutnya, barangan seperti beras, tepung, gula, minyak masak, telur, sardin dan mihun termasuk pek nasi ayam disediakan kepada penduduk setempat bagi meringankan beban mereka yang kehilangan sumber pendapatan.

Katanya, program foodbank itu mula diadakan pada 3 Julai lalu hingga keadaan memerlukan. Beliau berkata, setiap hari lebih 150 barangan bantuan boleh diambil oleh mereka yang memerlukan di tiga premis di daerah ini.

“Tiga tempat yang menyediakan foodbank ialah di Stesen Minyak Shell Batu Tiga, Shell Batu Lapan dan Shell Beserah, penyediaan barangan bantuan bermula 10 pagi hingga barangan habis.

“Keutamaan diberikan kepada penduduk setempat. Sebagai contoh, di Beserah, ramai penduduk terdiri daripada golongan nelayan dan pendapatan mereka terjejas sepanjang PKP 3.0,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, idea menyediakan foodbank di tiga premisnya dicetuskan oleh kakitangan di setiap premis dan mereka yang mencadangkan kepada pihak pengurusan sebelum diluluskan.

Amadaldin berkata, sebelum ini pihak turut mengagihkan pek nasi ayam kepada jemaah masjid, petugas di sekatan jalan raya (SJR) dan pusat kuarantin termasuk balai polis.

“Saya juga turut menyumbang pek nasi ayam kepada pesakit di hospital dan pusat tahfiz, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban pihak pengurusan tempat terbabit,” katanya.

Kredit: myMetro Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *