‘Cendawan Bonda’ Terima Anugerah Felda Kebangsaan

BERA – Seorang penerokawati dari Felda Sebertak, Wilayah Mempaga, Jamaliah Karim, 61, membuktikan kehidupan sebagai ibu tunggal mampu berjaya sekiranya rajin berusaha.

Jamaliah yang menjadikan perusahaan cendawan tiram kelabu sejak 10 tahun lalu sebagai pendapatan sampingan, berjaya merangkul Anugerah Usahawan Terbaik (Pertanian) yang diumumkan Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2021, kelmarin.

Katanya, idea untuk mengusahakan cendawan tiram kelabu yang diberi nama ‘Cendawan Bonda’, tercetus selepas anak kedua daripada tiga anaknya terbabit kemalangan di tempat kerja dan sukar mencari peluang pekerjaan kerana bergelar orang kurang upaya (OKU).

“Bagi membantu anak membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), saya nekad mengusahakan cendawan tiram kelabu di belakang rumah.

“Saya kemudian mendapat latihan dan bantuan peralatan daripada Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sokongan moral daripada pihak pengurusan Felda,” katanya.

Jamaliah berkata, anak keduanya itu kini sakit dan tidak dapat membantu menguruskan projek cendawan dan terpaksa bergantung harap kepada beliau untuk menguruskan diri.

Beliau yang berdepan pelbagai cabaran, bersyukur kini berjaya menghasilkan 6,000 bongkah cendawan tiram.

“Setiap hari, saya akan mengutip 20 kilogram cendawan untuk dipasarkan ke pasar FAMA, peniaga barang basah dan peniaga cendawan celup tepung. Saya bertuah apabila kawan baik sejak 45 tahun lalu, Siti Hiasir Mei yang juga penerokawati turut menyokong dan membantu,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Felda Sebertak, Mohamad Rozlan Daud, berkata pihak Felda merancang agar Jamaliah menjadi tenaga pengajar kepada usahawan baharu di Felda Wilayah Mempaga.

Katanya, dalam masa terdekat, Jamaliah akan mengajar 30 usahawan cendawan tiram kelabu menerusi Kursus Asas Penanaman Cendawan Tiram.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *