Annuar Musa Nafi Pentaksub PM

PETALING JAYA – Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengakui lebih senang bekerja dengan individu yang berusaha membantu rakyat berbanding dengan pihak yang tidak habis bermain politik, beretorik dan mahu menjatuhkan orang lain demi kepentingan diri.

Jelas Menteri Wilayah Persekutuan itu, apatah lagi mereka yang tidak mempunyai pendirian tidak konsisten dan bersikap tidak jujur.

“Namun yang pasti saya lebih senang bekerja bersama seseorang yang terbukti lebih berjaya serta terus menerus bekerja dan berusaha membantu rakyat daripada bekerja bersama orang yang saban hari tak habis-habis bermain politik, beretorik dan mahu menjatuhkan orang lain untuk kepentingan dirinya sendiri.

“Apa lagi untuk bekerja dengan mereka yang gagal terbukti mengawal diri, mulut dan hati mereka,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Annuar menepis tindakan pihak tertentu yang menggelarnya sebagai pentaksub Tan Sri Muhyiddin Yassin memandangkan beliau senang bekerja bersama Perdana Menteri.

Tanpa menyebut nama tersebut, beliau merujuk kenyataan itu dikeluarkan seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO lantikan dari sebuah negeri yang disifatkannya telah gagal sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Watak penulis ini sudah diketahui ramai. Tidak perlu saya mengulasnya, lagi pun bukan cara saya melayani watak yang tak perlu dilayan. Saya tidak tahu dia pentaksub siapa, mungkin orang lain tahu.

“Insya-Allah saya akan terus bekerja untuk rakyat membantu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan kerajaan setakat termampu bagi saya. Taksub? Biar rakyat yang menilai dan biar rekod saya yang berbicara,” katanya.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *