Anggota Tentera Maut Ketika Ke Tempat Kerja

KOTA BHARU – Seorang anggota tentera maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta yang dipercayai cuba memotong kenderaan lain di Kilometer 41/2, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Tunjong di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi, mangsa Muhamad Asyraf Azhari, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dan dada.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya dari arah Kota Bharu ke Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Persona yang berada di laluan bertentangan dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain.

“Insiden itu menyebabkan motosikal mangsa bertembung dengan kereta tersebut sehingga menyebabkan anggota tentera itu tercampak ke tepi jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan yang tiba ke tempat kejadian selepas menerima maklumat mengenai kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Abdul Rahim, bagaimanapun, pemandu kereta berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pegawai perubatan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk dibedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kredit: Kosmo!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *