Sumpah Abe Mat Bosan!

LAMA Abe Mat tidak menulis. Rasa macam mahu pencen menulis sebab bosan dengan orang politik. Paling ‘serabut perut’ tengok orang-orang politik berbalah. Semua hendak kuasa.

Dulu masa diberi kuasa, tak buat betul-betul, tak jaga rakyat. Bila kena humban baru kelam kabut cari rakyat. Satu pihak 60 tahun memerintah, sebelah lawan pula diberi peluang 22 bulan memerintah. Dua-dua ada rekod tidak berapa comel tetapi itulah sifat manusia yang baharu, tidak semua sempurna.

1 Mac 2020, ada Kerajaan baru. Mula-mula Abe Mat suka dengan Kerajaan ini.  Pertama kali, orang Melayu dan Islam bergabung selepas berbalah sejak merdeka lagi. Paling sukanya, bila UMNO dan PAS duduk sekali.

Menteri-menteri sepakat, buat kerja comel. Enam bulan duduk molek. Macam-macam bantuan diberikan kepada rakyat, ada PRIHATIN, PENJANA, PEMERKASA dan terbaru, PEMULIH.

Tiba-tiba pula nama Mak Cik Kiah jadi popular.  Menunjukkan betapa caknanya Kerajaan terhadap rakyat di bawah.

Lepas enam bulan, mula ‘gogeh’. Lebih tepat selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.  Kes COVID-19 naik mendadak. Pakat berbalah kata ‘mu, aku’.

Serabut perut weh!

Presiden UMNO pula tak habis-habis ugut hendak tarik sokongan.

Terbaru semalam. Presiden UMNO berkata, tujuh sebab kerajaan gagal maka disebabkan itu UMNO perlu tarik balik sokongan dan perlu lantik Perdana Menteri daripada UMNO.

Dalam Kerajaan sekarang ada sembilan menteri UMNO. Yang jaga pasal COVID-19 dan vaksin semua dari UMNO.  Kalau macam itu, yang gagal adalah UMNO. Jadi untuk apa pilih UMNO lagi. UMNO sudah gagal. Jadi, tidak malukah masih meminta hendak jadi Perdana Menteri.

Baca kenyataan Presiden UMNO berpusing-pusing umum tarik sokongan tetapi tidak bantah Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein naik pangkat.

Pening weh!

Abe Mat bukan nak cakap apa. Sebenarnya rakyat sudah tidak kisah pun siapa pun yang memerintah negara ini. Paling penting ialah kebajikan rakyat ketika berhadapan dengan krisis.

Rakyat sudah bosan dan muak dengan orang politik. Sampai rakyat jaga rakyat sendiri. Buat kempen bendera putih sebab sudah tidak boleh percaya lagi dengan orang politik.

Kerajaan buat kerja molek-molek adalah yang akan mari cucuk. Hilang fokus sebentar. Baru hendak mula kerja balik, mari pula puak-puak politik lain cucuk. Yang duduk kacau-kacau ini, orang dari komponen kerajaan iaitu UMNO sendiri. Pembangkang ‘lepak-lepak’ saja.

Buat semua pemimpin politik, berhentilah bertelagah. Fokus kepada rakyat. Bila COVID-19 selesai masuklah gelanggang, dan rakyat akan buat pilihan yang terbaik.

Sumpah, Abe Mat bosan!

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *