PETALING JAYA – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerima tamparan hebat dalam arena politik selepas sekutunya UMNO mengesahkan menarik diri daripada meneruskan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Ahmad Marthada berkata, penarikan sokongan itu sekali gus memberi kemungkinan PN bakal kehilangan majoriti sebagai kerajaan selain memungkinkan apa-apa situasi untuk berlaku.
“Tindakan UMNO menarik sokongan terhadap PN akan memberi kesan terhadap kerajaan berikutan kehilangan jumlah majoriti seterusnya mungkin membuka ruang kepada proses pembubalan Parlimen.
“Jika kita andaikan, keputusan UMNO itu dimuktamadkan, ini bermakna kerajaan Muhyiddin tiada lagi sokongan dan perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meletak jawatan,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.
Katanya, jika Perdana Menteri meletak jawatan berikutan tiada sokongan, ini bermakna beliau perlu memohon kebenaran Al Sultan Abdullah untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.
“Bagaimanapun, saya merasakan ia tugas sukar buat Muhyiddin untuk meyakinkan baginda bagi mengadakan PRU-15 lebih-lebih lagi ketika negara sedang bertarung peningkatan kes Covid-19,” jelasnya.
Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO secara sebulat suara memberi keputusan untuk tidak menjalankan kerjasama bersama Perdana Menteri secara serta-merta.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tersebut berkuat kuasa serta-merta setelah tujuh prasyarat yang diminta dan ditetapkan UMNO dilihat tidak berjaya dilaksanakan.
Kredit: Kosmo!