RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk air ketum yang dianggarkan bernilai RM9,488 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Dangar di sini hari ini.
Dalam serbuan pada pukul 3.30 pagi itu, PGA berjaya merampas 907 pil kuda, syabu seberat 2.78 gram dan 14 liter air ketum.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota PGA menjalankan serbuan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di rumah tersebut.
“Pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik telah menjumpai satu kotak berwarna hitam di atas rak pakaian yang mengandungi 897 biji pil kuda di dalam lima bungkusan plastik berwarna biru.
“Anggota PGA kemudian menemui satu beg kecil di atas meja di dapur yang mengandungi dua paket plastik lutsinar yang berisi dadah dipercayai jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kredit: Kosmo!