PAS Sokong Muhyiddin

KUALA LUMPUR – PAS termasuk semua 18 ahli parlimennya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu juga kesal dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan politik dalam negara, khususnya dalam keadaan kerajaan sedang berusaha menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi.

“PAS seterusnya menyeru seluruh rakyat untuk bersatu hati mendukung langkah Kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19, terutamanya bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Wanita Perikatan Nasional (PN) menzahirkan kekesalan terhadap kenyataan Presiden UMNO,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid awal pagi tadi yang menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Kenyataan bersama oleh Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Harun, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Senator Nuridah Mohd Saleh; Ketua Wanita Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Everlyn Gobile; Ketua Wanita Parti Maju Sabah (SAPP), Irene Chan Kam Lan, dan Ketua Wanita Nasional Gerakan, Janice Wong Oi Foon, berkata tindakan itu bermotifkan kepentingan sempit kelompok tertentu serta membelakangan kepentingan rakyat dan negara ketika memerangi pandemik.

“Wanita PN menyangkal dakwaan bahawa kerajaan PN gagal di atas beberapa isu seperti yang dijadikan alasan kepada pendirian MKT itu.

“Setakat ini pendekatan kerajaan sudah melaksanakan pengurusan COVID-19 yang seimbang antara mengekang penularan dan memelihara penghidupan rakyat. Harus diingat, negara sudah berjaya mengelakkan pandemik berskala bencana seperti di beberapa buah negara manakala ekonomi dipertahankan daripada lumpuh,” katanya.

Mengikut kenyataan itu, rakyat yang ketika ini terhimpit dengan kehidupan akan kecewa dengan keputusan MKT UMNO dan rakyat mahu semua kelompok terutama ahli politik mengenepikan kepentingan politik partisan dan menggembleng seluruh usaha, tenaga serta sumber bagi membantu mereka.

“Wanita PN akan menyokong penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri untuk terus meneraju kerajaan PN dan beliau sudah memimpin sehabis baik serta menyedia jalan keluar dengan PPN,” katanya.

Kredit: BH Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *