Pahang Akan Realisasi Inisiatif Sempadan Hijau Negeri

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang akan mengambil tindakan segera bagi merealisasikan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri Pahang dan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia termasuk membuat segala urusan diperlukan ke arah mewartakan sebahagian besar kawasan sempadan negeri sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Menurutnya, komitmen kerajaan negeri itu sebagai menjunjung titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai inisiatif itu pada Rabu.

“Titah baginda amat wajar dan tepat dalam memastikan alam sekitar negeri Pahang termasuk di kawasan-kawasan yang bersempadan dengan negeri-negeri jiran, terus terpelihara.

“Kerajaan negeri akan bertindak segera bagi merealisasikannya manakala kawasan yang meliputi tanah milik dibangunkan secara lestari selaras dengan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Wan Rosdy berkata, bagi kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini, kerajaan negeri akan menyegerakan kerja-kerja pemuliharaannya dengan penanaman pokok-pokok bersesuaian, seperti yang dititahkan.

“Kerajaan negeri juga sedang dalam proses menubuhkan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang yang fungsinya antara lain bagi memastikan biodiversiti kepelbagaian hidupan biologi sentiasa terpelihara di negeri ini,” katanya.

Kredit: Sinar Harian

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *