Keputusan UMNO Tutup Kegagalan Parti Sendiri

PETALING JAYA – Keputusan Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sekadar menutup kegagalan parti sendiri malah belum tentu berjaya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, keputusan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi awal pagi tadi seperti mahu melepaskan diri sendiri yang gagal menguruskan UMNO.

“Nampak sangat keputusan dibuat ada sedikit percanggahan pendapat dalam kalangan ahli MKT.

“Keseluruhan keputusan nampak macam tidak menggambarkan keputusan mesyuarat tersebut tetapi sekadar menutup kegagalan parti, mereka terpaksa buat keputusan macam itu.

“Apa yang saya nampak, keputusan dibuat memang dilihat sebagai jalan keluar kepada Presiden UMNO untuk melepaskan diri sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Presiden MIC, S.A Vigneswaran bagaimanapun berpendapat keputusan UMNO untuk keluar daripada kerajaan tidak akan berjaya kerana semua Menteri Barisan Nasional (BN) di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak bersetuju untuk melepaskan jawatan masing-masing.

“Kita tunggu dan lihat apa tindakan UMNO terhadap ahli parlimen yang tidak bersetuju dengan keputusan mesyuarat malam tadi,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden MCA, Datuk seri Dr. Wee Ka Siong menegaskan bahawa parti itu akan terus menyokong kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“MCA pada masa ini masih dengan pendirian yang sama dengan menyokong PN sehingga PRU akan datang, seperti mana keputusan yang dibuat oleh BN sebelum ini,” katanya.

Kredit: Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *