PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu menjelaskan kedudukan sebenar dengan mengeluarkan kenyataan ‘tulen’ berhubung keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) malam tadi yang dikatakan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu diberitahu sendiri oleh beberapa ahli MT yang menyatakan kenyataan media Presiden itu tidak menggambarkan keputusan mesyuarat tersebut.
Beliau mendedahkan, kenyataan media itu disiapkan lebih awal, sebelum MT bermesyuarat.
“Sebaik sahaja Presiden UMNO selesai membuat kenyataan media lewat tengah malam tadi, saya dihubungi beberapa ahli MT yang menyatakan kenyataan media Presiden tidak menggambarkan keputusan mesyuarat MT.
“Tinjauan lanjut menyatakan apa yang dibaca kepada media adalah kenyataan yang telah disiapkan lebih awal, sebelum MT bermesyuarat. Jika benar, ternyata sekali lagi MT dipermain dan ini amat serius,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Annuar berkata, dalam kumpulan WhatsApp ketua-ketua UMNO Bahagian juga, ramai mengeluh dan keliru dengan kenyataan media Presiden itu dan terdapat juga ketua UMNO bahagian yang juga ahli MT mengesahkan kenyataan Presiden tidak menggambarkan intipati dan rumusan mesyuarat MT.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh mempersoalkan mengapa perkara seperti itu boleh terjadi berkali-kali, lain dibincang, lain pula dirumuskan.
“25 ahli MT bercakap, dalam suasana yang agak tenang dan jujur memberi pendapat. Jelas banyak pendapat yang berbeza. Tiada konsensus yang ketara. Tiada undian dibuat.
“Malah, perbincangan tidak berkisar kepada sama ada UMNO perlu keluar dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang dimomokkan sebelum ini termasuk pendirian yang dimohon dari pertemuan secara berasingan dengan ahli MT,” katanya.
Justeru, beliau meminta Presiden wajib menjelaskan kedudukan sebenar dengan segera mengeluarkan kenyataan yang benar kerana lambat laun, kedudukan sebenar akan terserlah jua dan tidak baik bagi parti.
Kredit: Utusan Online