TUMPAT – Isu pekebun durian Musang King di Raub, Pahang tidak akan menjejaskan dan mengganggu permintaan serta eksport buah itu ke negara luar kerana masih ramai lagi individu mengusahakan tanaman berkenaan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata isu yang sedang dalam siasatan pihak berkuasa itu juga tidak menjejaskan pengusaha durian Musang King yang lain.
“Durian Musang King memang menerima banyak permintaan dari luar negara, namun bukan ladang itu (Raub) saja yang mengeluarkan, tapi ramai lagi pengusaha ladang lain.
“Ia juga boleh dieksport, malah mereka (pengusaha ladang lain) patuhi peraturan dan isu itu tidak menjejaskan usahawan Musang King lain,” katanya ketika ditemui hari ini.
Che Abdullah turut menafikan beliau mempertahankan pengusaha ladang Musang King di Raub, termasuk kenyataannya sebelum ini yang mencadangkan supaya menunggu buah durian di kawasan itu gugur terlebih dulu, sebelum tindakan lanjut diambil terhadap pokok durian berkenaan.
Sambil menyatakan kenyataan itu disalah faham, beliau berkata isu pencerobohan hutan simpan kekal adalah satu isu yang berlarutan, sekali gus kementeriannya tidak menghalang pihak berkuasa menjalankan tindakan lanjut.
“Tak kan kita nak halang penjawat awam jalankan kerja sebab itu tugas masing-masing dan ia di bawah keputusan pihak berkuasa.
“Pencerobohan hutan simpan kekal adalah satu isu yang berlarutan, jadi tidak berbangkit untuk sebut tunggu durian gugur baru ambil tindakan,” katanya.
BH sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Raub bagi menjaga ketenteraman awam di daerah itu berikut kekecohan membabitkan pekebun durian dan anggota penguat kuasa.
Operasi memusnahkan kebun haram durian Musang King di dalam Hutan Simpan Batu Talam bermula Ahad hingga 2 Ogos ini membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk PDRM.
Difahamkan, kawasan seluas kira-kira 101 hektar itu mempunyai pokok durian Musang King yang sudah mengeluarkan hasil.
Kredit: BH Online